Sunday, March 29, 2020

KEMAHIRAN PENTING KEPADA GRADUAN MASA DEPAN

Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi, sosio ekonomi serta politik dunia adalah di antara faktor yang merubah bentuk dan tahap kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan. Zaman teknologi maklumat ini bertambah sukar untuk diramalkan jenis dan bentuk pekerjaan yang akan wujud pada masa depan dengan tepat. Lantaran itu, universiti berperanan dalam menyediakan graduan yang kompeten, berinovatif dan memenuhi keperluan pasaran kerja adalah sesuatu yang penting bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran dan pengetahuan tentang pasaran pekerjaan. Pembangunan pelajar tidak hanya dilihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang tetapi mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan. Segala usaha tersebut adalah untuk menerapkan kemahiran tinggi dalam kalangan pelajar, maka perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di peringkat institusi. Dari aspek akademik pula, penambahbaikan kurikulum melalui kajian pasaran pekerjaan dan kerjasama dengan industri telah dan sedang giat dilaksanakan. Manakala perkhidmatan sokongan pembangunan kerjaya juga penting dalam memastikan pelajar dapat memperolehi pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran tinggi. Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang bakal menduduki latihan industri pada masa kini juga sudah mula terkena tempiasnya. Untuk mendapatkan kedudukan sebagai pelatih industri pada waktu ini tidak lagi semudah dahulu. Majikan sudah mula mengetatkan prosedur pengambilan seperti mengenakan sesi temu duga, kuota untuk pelatih juga sangat terhad, malah kebanyakannya tidak lagi menyediakan elaun kepada pelatih. Bermakna, majikan hanya akan mengambil pelatih yang benar-benar sesuai dan perlu.

Antara kemahiran yang diperlukan untuk graduasi masa depan ialah Kemahiran Kepimpinan. Kejayaan sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya sesuatu itu adalah berdasarkan kepada kepimpinan. Kriteria ini juga sangat penting untuk dikuasai oleh bakal graduan, sebagai salah satu daripada antara beberapa kemahiran-kemahiran yang penting untuk dikuasai. Walaupun bakal graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi terus ketika menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu menunjukkan potensi sebagai seorang pemimpin, yang mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan, seterusnya melaksanakan tugas tersebut kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh majikan. Mereka juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta memberi dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama mereka kelak. Apa yang paling penting di dalam sikap kepimpinan ini ialah, bakal graduan perlu tahu tentang tugasan yang diterima seterusnya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik, menentukan tarikh akhir tugasan serta menunjukkan kepimpinan dengan memberikan contoh-contoh yang baik kepada orang lain atau rakan setugas yang lain. Kemahiran Kepimpinan sebenarnya telah dipupuk ketika menuntut di universiti di kalangan para bakal graduan, samaada secara langsung mahupun tidak langsung.
  
Selain itu ialah Kemahiran Berkomunikasi. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling asas yang perlu diutamakan kerana majikan akan meneliti dan menguji graduan samaada kemahiran berkomunikasi mereka adalah benar-benar pada tahap yang diingini. Apabila penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat dikuasai, maka daya keyakinan akan menjadi lebih tinggi. Malah, bakal graduan juga akan berpeluang besar dalam mendapatkan sesuatu kerjaya kerana mempunyai idea yang bernas selain mempunyai pengetahuan teknikal yang mantap. Penguasaan kemahiran berkomunikasi dengan baik, terutama sekali dalam bahasa inggeris juga mampu membantu survival bakal graduan dalam cabaran pencarian kerjaya yang bersesuaian dengan bidang dan kemahiran yang mereka ada, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Marie Aimee Torres, seorang penyelidik senior di Jabatan Pembangunan Pelajaran, Universiti Malaya (UM), bahawa penguasaan dalam bahasa inggeris umpama penentu kepada graduan agar lebih berkemampuan bersaing secara efektif dalam pasaran kerja.

Seterusnya ialah Kemahiran Penyelesaian Masalah dan Kerja Berpasukan. Daripada semua kemahiran dibincangkan, penyelesaian masalah dan semangat adalah yang paling rapat dengan kaedah pendidikan tradisional. Namun ini tidak bermakna bahawa tidak ada kaedah inovatif yang melibatkan penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam kurikulum. Penyelesaian masalah dan kerja berpasukan bertindak sebagai nadi untuk keseluruhan pasukan untuk berkembang dengan lebih cepat. Penyelesai masalah  mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja dan mempunyai peluang yang besar untuk pergi lebih jauh dalam sesuatu bidang.

Di samping itu ialah Kemahiran Berbahasa Inggeris. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan di seluruh dunia. Jadi, bahasa Inggeris ini diterima dan digunakan oleh semua negara di dunia. Hal ini membuktikan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, peluang pekerjaan yang terbuka bukan hanya di negara kita malahan juga pada peringkat antarabangsa. Tambahan pula, pekerjaan merupakan satu keperluan terutamanya semasa kegawatan ekonomi melanda dunia ini. Kita pernah dikejutkan dengan berita isu pengangguran yang semakin meningkat di negara kita, iaitu mencecah angka 80 000 orang. Dengan penguasaan bahasa Inggeris yang mampan, sudah tentu kita tidak akan bermasalah untuk mendapat pekerjaan yang berprestij terutamanya dengan pihak swasta. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain seperti akuantan, doktor, peguam, dan pensyarah. Malahan, ahli-ahli politik, iaitu barisan pemimpin negara turut mrengutamakan bahasa Inggeris kerana bahasa inilah yang digunakan ketika menyampaikan ucapan supaya dapat menyakinkan pemimipin-pemimpin dunia, di samping memperoleh penghormatan dalam arena antarabangsa. Jadi,penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dibiasakan sejak kecil lagi seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sekiranya bahasa ini boleh kita kuasai dengan baik, nescaya peluang pekerjaan akan sentiasa menanti.

Akhir sekali ialah Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Pada masa kini, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kehidupan kita kian meluas, justeru itu kita mestilah peka terhadap perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ini. Kemahiran dalam menguasai teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT ini adalah amat penting pada masa sekarang,kerana banyak perkara yang telah menggunakan teknologi maklumat.Contohnya penggunaan komputer,internet dan sebagainya. Menguasai kemahiran ini juga membolehkan kita mendapatkan pekerjaan dengan mudah,kerana di zaman sekarang banyak pekerjaan yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi ini.Penggunaan komputer,internet,adalah satu kemestian dalam industri pekerjaan di negara ini.Kita juga akan menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara.Kita tidak akan terjebak dalam aktivi-aktivi yang tidak sihat seperti menagih dadah,merompak,menculik dan sebagainya kerana kita asyik dengan komputer di rumah atau di cyber-cafe, menambahkan ilmu tentang kemahiran ICT atau belajar menguasai kemahiran ini.



Cadangan pertama untuk memastikan bahawa graduan masa depan dibekalkan dengan kemahiran yang diperlukan ialah kerajaan perlulah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan atu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.


Cadangan kedua ialah pendedahan awal aspek kerjaya kepada bakal graduan. Institusi-institusi pendidikan perlu mengambil kesempatan, agar memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah khasnya tentang kerjaya yang ditawarkan kelak dengan mengikuti pengajian yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan. Dengan adanya pendedahan ini kepada murid-murid sekolah, maka secara tidak langsung, ini akan dapat membantu mereka lebih bersedia sedari awal apakah bidang yang ingin diceburi kelak ketika menuntut di universiti. Mereka akan dapat mengumpul seberapa banyak keperluan yang penting, seperti kemahiran-kemahiran insaniah yang perlu dikuasai dan dimiliki sebelum melangkahkan kaki ke gerbang kerjaya kelak. Sebagai contoh, ekspo kerjaya yang diadakan di sekolah-sekolah menengah saban tahun adalah bertujuan dalam memperkenalkan bidang kerjaya yang memerlukan tenaga mahir kelak sekaligus memberi mereka persediaan agar dapat bersedia berdepan dengan situasi sebenar alam kerjaya yang mencabar. Pihak institusi-institusi pendidikan yang berkaitan juga perlu mengadakan program berkaitan dengan keusahawanan, kerana melalui program ini bakal-bakal graduan akan dapat mengaplikasikan kebolehan yang mereka ada untuk menghasilkan produk atau menjual produk. Dengan adanya lebih banyak lagi program keusahawanan ini, lebih banyak manfaat serta kemahiran insaniah yang dapat dipupuk serta dikuasai oleh bakal graduan.




RUJUKAN


KEMAHIRAN PENTING KEPADA GRADUAN MASA DEPAN Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi, sosio ekonomi serta politik dunia adal...